Jumaat, 21 September 2018

BED TIME STORY

Biasanya, setiap malam, akan ada giliran untuk aku atau wife, tidurkan anak-anak. Aysh baru umur 5 tahun & kakak Alyah umur 11 tahun, tidur sama-sama sekatil dalam bilik diorang. Dua-dua tidur buas. Masing-masing berkungfu masa tidur. Kadang-kadang, bangun-bangun je, ada la lebam mana-mana.

Berbalik pada cerita nak kena tidurkan diorang tadi, konsep tidurkan diorang adalah, mak atau bapaknya akan tertidur sekali la kat situ. Nanti, bila semua dah tidur, baru la bangun dan masuk bilik aku.  Kadang-kadang, bapaknya tertidur dulu daripada anak-anak. Biasanya, aku la paling terseksa bila nak tidurkan diorang. Sebab nya, bila aku tidurkan diorang, kaki aku akan terjulur tergantung kat hujung katil. Sebabnya, kami pusingkan katil jadi melintang supaya ruang tidur lebar sikit (elak berkungfu sesama sendiri masa tidur). So, kepala diorang dan aku hala ke sisi katil.

Biasanya, sebelum tidur, dah tutup lampu, dah berselimut, kena pulak ber "Bed time story". Terpaksa la memerah otak untuk reka cerita ikhtibar. Tapi semalam, kakak volunteer untuk bercerita. Dimulakan dengan "Once upon the time...". (Cerita in english hokehh..).

Tapi semalam, agak menyentuh perasaan. Bila tengok suasana macam tu. Si kakak bercerita, si adik mendengar dengan tekun sambil menyedut susu daripada botol susu. Mata terebil-kebil dalam gelap. Mungkin tengah membayangkan cerita kakak. Kadang-kadang, si adik mencelah menokok tambah. Si kakak mengekek ketawa sebab mendengar tambahan cerita adik yang tak logik. Well...sungguh...syahdu kot. Yelah, entah bila lagi aku dapat rasa suasana macam ni. Nanti, bila masing-masing dah besar dan remaja, bed time story walid dah tak berapa laku dah. Banyak lagi hiburan lain yang lagi best untuk buat melayan mata mereka sebelum tidur. Dan keakraban mereka, mungkin suatu masa nanti, tak serapat sekarang. Maybe masih rapat, tapi mereka tak serapat sekarang. Tak serapat macam masa tidur sekatil sekarang..

Biarlah hilang pasangan, jangan hilang anak. Pasangan boleh dicari, diganti, tapi anak, dia lah satu-satunya tanpa pengganti. Dialah menifestasi kita terhadap hidup ini. Biarlah, jika ada beban terpaksa digalas, atau ada takut terpaksa dihadap untuk membesarkan mereka, aku redha. Aku redha, seredha nya ibu bapa aku ke atas diri aku.

Wassalam.


Khamis, 13 September 2018

MIMPI

Lama tak berbicara dalam blog ni. Bukan sebab tiada perkara penting yang berlaku dalam hidup aku. Cuma, kebanyakanya terlalu peribadi untuk dikongsikan. Apapun, semua dah berlalu. Jadi, yang lepas, biar kan lepas. Tiba masa untuk pandang ke hadapan.

Just nak cerita something yang sebenarnya, maybe takde apa-apa sangat pada orang lain, tapi agak istimewa pada aku. Kelmarin merupakan tahun baru islam. Macam biasa, bangun subuh, macam nak jogging. Tapi termalas pula. So, baring-baring dan tidur.

Dalam tidur yang singkat tu, aku sempat bermimpi. Bermimpi berjumpa dengan arwah umi. Walaupun agak berbeza, tapi aku tau itu arwah umi. Badan sikit berisi, seperti, jika arwah masih ada, lebih kurang begitu lah rupa parasnya (agaknya). Arwah umi, tersenyum, memandang aku. Aku pandang dia, dan kemudian nya, memeluknya. Bercucuran air mata keluar daripada mata aku yang tertutup rapat sambil tangan memeluk kuat dia. Aku katakan padanya, "Umi, abang rindu umi". Itu sahaja yang sempat aku tuturkan sebelum aku terus terjaga. Rupanya, apa yang aku tuturkan itu terkeluar dibibir aku diluar mimpi yang sekaligus menyebabkan aku terjaga. Umpama, apabila kita bermimpi ngeri, bila terlampau ketakutan, kita akan terjaga. Maybe, mimpi aku ni, bukan sebab terlampau ketakutan, tetapi terlampau gembira bila dapat berjumpa dengan arwah umi.

Jadi, bila aku terjaga, aku dapat rasa, ada air mata yang meleleh ditepi mata aku. Aku cuba tidur semula dengan harapan dapat menyambung mimpi indah tadi, tapi hampa.

Aku tak pasti, samada aku benar berjumpa dengan umi aku di dalam mimpi tersebut atau ianya  hanyalah mainan perasaan. Tapi, ia cukup untuk buat aku rasa gembira walaupun sekejap. Mungkin, dia datang untuk memberi tahu, dia sentiasa ada mendengar dan memerhatikan aku dan mendoakan aku ketika aku dalam keserabutan hidup. Entah lah. Cuma, aku amat menghargainya.